BAB PERTAMA - MEMBEZA


MENGENAL TANDA

   "Awalludin Maarifatullah".  Awal-awal agama mengenal akan Allah.  Bagaimana pula kita hendak memaarifat akan Allah, sedangkan diri Allah tidak ada ain atau tidak nyata?, sedangkan Rasullallah SAW perintah kita kenal atau maarifat akan Allah.

   Untuk mengenal akan Allah ialah dengan berdalil, iaitu ada dua dalil, pertama dalil Aqli iaitu dalil akal dan kedua dalil Naqli iaitu dalil firman dari AlQuran atau Hadith.  Dalil maksudnya tunjuk, iaitu satu benda hendak tunjuk satu benda.  Contohnya; ada asap menunjukkan ada api  tetapi api bukan asap, asap bukan api, sebenarnya asap tidak lain dari api.

   Hadith  SAW; "Siapa kenal dirinya, maka kenallah Tuhannya dan siapa kenal Tuhannya maka binasalah dirinya", (binasa bukan maksud hancur jasad tetapi fana diri). 

Firman Allah Maksudnya:


Patutkah mereka merasa cukup Dengan mengetahui Yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan Dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), Bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya itu melainkan Dengan ada gunanya Yang sebenar, dan Dengan ada masa penghujungnya Yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang Yang sungguh ingkar akan pertemuan Dengan Tuhannya.  (Ar Rum: 8).


Firman Allah Maksudnya:

Ia mengemukakan kepada kamu satu misal Perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi Yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda Yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya Dengan penerimaan kamu itu, mereka Dengan kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu Dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian Dengan orang-orang Yang berkongsi Dengan kamu - Yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang Yang menggunakan akal untuk memahaminya.  (Ar Rum: 28).


 Sebab itu siapa kenal dirinya maka kenallah Tuhannya.  Antara lain Allah ada menceritakan kisah hamba dengan tuan didalam  ayat seterusnya, "Bolehkah hamba itu berkongsi harta tuannya yang kami  berikan?, sehingga hamba itu sama-sama berkuasa dengan harta tuannya."  Apakah harta yang dimaksudkan didalam firman diatas tadi?.  Harta yang dimaksudkan ialah sifat tujuh (sifat maani), iaitu Qudrat, Irodat, ilmu, hayat, samak, basor dan kalam. Bolehkah kita berkongsi harta tersebut dengan Tuhan?.  Sudah tentu tidak boleh, sebab itu jikalau sifat tujuh tadi kita menganggap kita yang punya dan duduk perasaan ada dikita, ini sudahpun bermakna kita sedang berkongsi atau sama-sama berkuasa dengan harta Tuhan, dan jikalau begitu bermakna kena atas syirik, dan syirik dosa yang tidak diampun.

   Sebelum mengenal Tuhan, wajiblah kita mengenal diri terlebih dahulu, iaitu diri terbahagi kepada dua diri.  Pertama diri khusus dan kedua diri umum.  Yang dikatakan diri khusus ialah diri kita, dan yang dikatakan diri umum ialah diri semua yang ada disekeliling kita, sama ada yang nampak atau tidak nampak.  Da sebagai kesimpulannya, dibahasakan kedua-dua diri itu sebagai makhluk.  Jadi sebelum kita hendak mengenal Tuhan, perlulah kita mengenal makhluk terlebih  dahulu, sebab makhluk itulah sebagai dalil hendak tunjuk Tuhan.  Firman Allah didalam hadis qudsi, "Aku adalah umpama harta karun yang tersembunyi, Aku mahu dijumpai.  Sebab itu Aku menciptakan segala kejadian (makhluk), supaya Aku boleh dikenali."

   Apakah yang dimaksudkan dengan makhluk?.  Makhluk ialah benda yang kena jadi.  Untuk apa pula kita perlu kenal makhluk?.  Sebab makhluklah menjadi dalil hendak tunjuk Tuhan. Oleh itu perlulah kita mengenal hakikat makhluk yang sebenar.  Untuk mengenal dengan sebenar pengenalan hakikat makhluk maka perlulah terlebih dahulu mengenal tanda makhluk, iaitu tanda satu antara satu.  Perlu apa pula kita kena kenal tanda?.  Sebab kita hendak membeza antara dua benda.  Tiap-tiap benda  mesti ada tanda masing-masing.  Contohnya; ada tanda itik, ada tanda ayam, ada tanda jantan, ada tanda betina, ada tanda pokok  langsat,  ada tanda pokok rambai, ada tanda  daun, ada tanda  buah  dll. 

 Tetapi  jikalau  kita tidak kenal tanda, kita tidak boleh hendak membeza.   Contohnya;  disuruh ambil ayam, diambilnya itik, atau jari tunjuk pokok rambai, mulut kata pokok langsat, sebab tidak tahu tanda, dan jika tidak kenal tanda bagaimana hendak membeza?.  Jika kita tahu membeza baharulah setentang (waqhiq) atau tepat, iaitu apa yang kita kata setentang atau bertepatan dengan apa yang kita maksudkan.

Firman Allah
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): Dialah  Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk 3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".                   (Al-Ikhlass 1 – 4 )

   Tujuan membeza ialah supaya kita tahu membeza diantara makhluk dengan Tuhan atau dalam bahasa arabnya muhadas dengan qadim.  Itulah sebabnya kita kena tahu tanda, kiranya tidak tahu tanda, bagaimana kita hendak membeza diantara makhluk dengan Tuhan.  Kita kenalah kenal tanda makhluk dan tanda Tuhan (mahasuci Allah tidaklah terdapat tanda, akan tetapi untuk menyampaikan faham sahaja, jangan disalah ertikan).

  Jikalau tidak tahu tanda mungkin akan bercampur, makhluk dikatakan  Tuhan dan Tuhan dikatakan makhluk, maka rosaklah segala-galanya, dan sekiranya Tuhan dikatakan makhluk, makhluk diktakan Tuhan, maka duduklah kita didalam syirik selama-lamanya.  Inilah yang dikatakan syirik khafi iaitu syirik yang tersembunyi, dimana kita tidak menyedari yang kita kena syirik, dan inilah yang paling ditakuti oleh ulamak-ulamak dahulu.  Sebab itulah kita perlu tahu segala-galanya, supaya kita benar-benar tahu apa yang kita kata, dan benar-benar tahu apa yang kita buat.  Sekiranya kita kata Allah, tepat dan sebenar kena atas Allah, jangan kita kata Allah kena atas makhluk, atau sebaliknya.  Kita sangka kita sembah Allah, tahu-tahu kena atas makhluk atau sembah baharu.


MENGENAL MAKHLUK

   Tiap-tiap yang ada ditujuh petala langit dan tujuh petala bumi ini, adalah pada umumnya dipanggil makhluk.  Dan yang dikatakan makhluk itu ada mempunyai empat nama, empat bangsa dan dua sifat.

EMPAT NAMA

1.   MAKHLUK   -   iaitu maksudnya benda yang kena jadi.
2   BAHARU   -   iaitu maksudnya tidak tetap dan berubah-ubah.
3.   ALAM      -   iaitu maksudnya  selain daripada Allah.
4.   MUMKIN   -   iaitu maksudnya tidak jadi dengan sendirinya atau ada kuasa  lain yang menjadikannya, hendak jadi  dengan sendirinya tidak boleh.

   Dari itu tiap-tiap benda termasuk diri kita (diri khusus dan diri umum) ada empat nama, seperti diatas.  Tidak ada yang terkecuali, kecuali Allah swt.


EMPAT BANGSA

Dari keempat-empat nama makhluk tadi  tertakluk pula kepada empat bangsa iaitu:-

   1.   Bangsa JIRIM         
   2.    Bangsa JISIM         
   3.    Bangsa JAUHAR
   4.   Bangsa JAUHAR  FIRID


1.         Bangsa JIRIM   

   Ialah jenis benda yang bertongkol atau berbentuk, boleh dipandang dengan mata dan juga fikiran.  Contohnya; seperti diri kita , binatang, pohon-pohon kayu, bukit bukau dll.

2.    Bangsa JISIM

   Ialah jenis makhluk yang boleh dilihat dengan mata tetapi tidak boleh dirasa, atau boleh dirasa tetapi tidak boleh dilihat dengan mata.  Contohnya; seperti angin, awan, asap,  kabus, cahaya, kilat dll.

3.   Bangsa JAUHAR 

   Ialah jenis makhluk yang terdiri dari sel-sel, tisu-tisu atau benda halus yang seni-seni atau jenis benda yang berkampuh-kampuh seperti darah, atom, molekiuls dsbnya.


4     Bangsa Jauhar Firid

   Ialah jenis makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata dan tidak boleh dirasa dengan  segala pancaindera.  Contohnya; seperti neraka, syurga, a'rash, roh, kalam, benih, malaikat, jin dll.

DUA SIFAT

   Keempat-empat nama dan keempat-empat bangsa makhluk tadi ada pula dua sifat, iaitu sifat pertama ialah semua jenis-jenis makhluk itu ada ENAM TEPI, dan sifat keduanya ialah semua jenis-jenis makhluk ada pula DUA KELAKUAN YANG TAK BERLAKU SERENTAK DALAM SATU MASA.

1.   ENAM TEPI. 

   Semua jenis atau bangsa makhluk tadi ada enam tepi (enam jihad), enam pihak atau enam sempadan.  Yang dimaksudkan dengan enam tepi itu ialah:   

1.  Tepi bahagian atas,   
2.  Tepi bahagian  bawah     
3.  Tepi bahagian kanan     
4.  Tepi bahagian  kiri,     
5.  Tepi  bahagian  hadapan,   
6.  Tepi  bahagian  belakang. 

 Dengan ini bermakna kesemua nama dan bangsa makhluk-makhluk tersebut ada enam tepi ada had dan ada hingga, tidak kira makhluk itu bulatkah bersegikah, tidak nampak dimatakah atau tidak boleh dirasakan, tetap ada enam tepi dan ada had dan ada hingga.

2.   DUA KELAKUAN YANG TAK BERLAKU SERENTAK DALAM SATU MASA.   

   Tiap-tiap jenis dan bangsa makhluk yang mempunyai enam tepi tadi ada pula terdapat dua kelakuan yang tak berlaku serentak dalam satu masa keatasnya, tidak lebih dan tidak kurang, hanya dua kelakuan iaitu, hidup dan mati, gerak dan diam, panjang dan pendek, tinggi dan rendah, pandai dan bodoh dll.  Dua kelakuan tersebut tetap berlaku keatas makhluk, tidak lebih dan tidak kurang.  (Dua kelakuan ini akan diterangkan di bab BERHUKUM, kerana ada kaitannya).

   Untuk membuktikan tiap-tiap makhluk itu bertepi, marilah kita bincangkan pada tiap-tiap satu jenis makhluk tersebut. Bagi makhluk bangsa JIRIM mudah kita fahami, iaitu semua jenis yang berbentuk dan bertongkol sudah semestinya ada enam tepi.  Bagi makhluk bangsa JISIM pula, kita ambil satu contoh seperti angin, mithalnya pusaran angin (puting beliung) yang melanda sebuah kampung; katakanlah kampung tersebut ada empat puluh buah rumah, tetapi yang terlibat tadi hanya tujuh buah rumah sahaja.  Jikalau sekiranya angin ribut tersebut tidak ada tepi atau tidak ada had dan hingga, sudah pastilah bukan tujuh buah rumah sahaja yang musnah, tetapi seluruh kampung atau daerah, malah mungkin seluruh negeri atau negara turut musnah.  Sekiranya angin atau udara tidak ada had dan tidak ada hingga, kenapa pula angkasawan terpaksa menggunakan tangki oksigen untuk bernafas di angkasa, ataupun kita masuk kedalam sebuah peti yang bertutup rapat sehinggakan tidak ada satu lubang pun dipeti tersebut, dan tidak pula menggunakan tangki  oksigen, apa yang akan terjadi?.  Sudah pasti  mati kerana tidak dapat bernafas.  Ini membuktikan angin atau udara juga ada tepi ada had dan ada hingga, had dan hingga udara bertemu had hingga peti, menyebabkan  udara tersebut tidak dapat menembusi had hingga peti.

   Bagi makhluk berbangsa JAUHAR pula tidak perlu kepada penerangan yang panjang, kerana kita sudah maklum dan fahami bahawa makhluk jenis ini seperti darah hanya terkandung didalam organ-organ tertentu sahaja, seperti dalam tubuh manusia, haiwan dll.  Dan sudah semestinyalah ia bertepi dan ada had hingga.

   Bagi makhluk jenis JAUHAR FIRID juga ada mempunyai enam tepi, iaitu ada had dan ada hingga. Kita ambil satu contoh dari jenis ini seperti syurga, jikalau syurga tidak ada tepi, dimana pula hendak  adanya neraka, dan jikalau   neraka pula tiada tepi di mana pula syurga. Sekiranya neraka dan syurga tiada had dan tiada hingga, sudah pastilah penghuni neraka akan bercampur dengan penghuni  syurga, bercampurlah neraka dan syurga. Kita ambil contoh lagi, iaitu kalam, yakni suara kita, berapa jauh boleh sampai atau kedengaran suara kita. Sejauh mana boleh sampai dan kedengaran suara kita, disitulah had dan hingga atau tepinya, begitu juga pendengar, perlihat dll. Semuanya ada jarak yang tertentu. misalnya, sekiranya pelihat kita tidak ada tepi, tidak ada had dan tidak ada hingga, sudah pasti kita melihat pada jarak-jarak berjuta-juta batu dan tiada kesudahannya, tidak kira disebalik dinding atau tembok batu. Sedangkan dibalik dinding rumah kitapun sudah tidak nampak, inikan pula berjuta-juta batu. Begitulah juga semua jenis mahluk JAUHAR FIRID ada mempunyai enam tepi, ada had dan ada hingga.

   Kesimpulannya, setiap benda yang kena jadi, setiap benda selain dari ALLAH, sama ada nampak atau tidak nampak dimata, samada boleh dirasa atau tidak dirasa dengan pancaindera, tetap dan mesti ada enam tepi, ada had dan ada hingga dan tetap mengambil lapang sekadar dirinya. Lapang juga bertepi ada had dan ada hingga.
Contohnya: Lapang tidak dapat masuk kedalam benda yang padu seperti kayu, batu, besi dan sebagainya. Masa juga ada tepi misalnya satu minit, satu jam, satu tahun dan satu zaman.

   Apakah yang dimaksudkan mengambil lapang sekadar dirinya? Disini kita akan cuba huraikan dengan contoh. kita ambil sebuah kotak yang besar, misalnya lapan kaki persegi, lepas itu kita ambil pula kotak berukuran satu kaki persegi dan kita muatkan disatu kotak besar  yang lapan kaki persegi tadi. Jadi kotak besar tadi masih ada ruang kosong ataupun masih ada ruang lapang, dan kotak kecil yang berukuran satu kaki persegi tadi mengambil ruang atau lapang sekadar dirinya iaitu satu kaki persegi sahaja. 

Ditegaskan bahawasanya setiap benda yang kena jadi, ataupun selain daripada ALLAH tetap ada enam tepi, ada had dan ada hingga, dan mengambil lapang sekadar dirinya.Setelah kita lalui beberapa huraian dan penerangan dari hal mengenal makhluk ataupun mengenal tanda makhluk, maka sedikit sebanyak kita sudah boleh faham apa itu mahluknya sebenarnya atau hakikatnya, sehinga apa jua yang terbayang dimata, terlintas dihati dan fikiran tetap tepi, ada had dan ada hingga, tidak terkecuali sesuatu apapun kecuali ALLAH S.W.T.

   Setelah kita mengetahui atau mengenal tanda makhluk, kita hendak ketahui pula tanda tuhan atau mengenal dengan sebenarnya tentang ketuhanan. (Sesungguhnya ALLAH itu tidak mempunyai tanda, tetapi terpaksa kita andaikan untuk memudahkan mencapai kefahaman).

   Sesungguhnya ALLAH itu tidak bertepi, tidak ada had dan tidak ada hingga, bukan jirim, bukan jisim, bukan jauhar dan bukan jauhar firid, demi sesungguhnya tidak ada yang menyerupi dan bersamaan dengan segala sesuatu apapun, yang tebayang dimata, tidak terlintas dihati dan fikiran.

Dari itu sesungguhnya ALLAH itu meliputi setiap sesuatu, sehingga kedalam daging, dalam darah, dalam tulang, dalam batu, dalam kayu dan didalam apa jua yang selain daripada ALLAH. Meliputi itulah tiada had dan tiada hingga, tiada ada ruang dan tiada ada lapang. Jadi apabila kita sebut ALLAHHUAKBAR, iaitu ALLAH Maha Besar maka sudah kita fahami bahawasanya besarNya itu tiada had tiada hingga dan tidak pula mengambil lapang sekadar ZATnya, (ALLah itu nama bagi ZAT, tidak pula bertepi, meliputi sekelian alam (Selain dari pada ALLAH).

   Terdapat juga sesetengah guru agama yang berpendapat, bahawa tidak boleh kata ZAT itu besar, kena kata kuasa sahaja besar, sebab takut-takut terfikir ZAT itu bertongkol atau berbentuk, (takut kena atas jirim, jisim, jauhar atau jauhar firid). Pendapat ini terbit disebabkan mereka tidak faham yakni tidak kenal atau tidak tahu tanda mahluk dan tanda Tuhan. Jadi jikalau ZAT itu besar dan terfikir besar itu ada bertubuh atau berbentuk, maka terbatallah sifat muqholafah. Dan juga yang berpendapat Tuhan itu tidak bertempat dan tidak tahu dimana. Ini bermakna Tuhan itu sekejap disana dan disini, jadilah bertempat balik, dan  tentu ada tubuh atau berbentuk. Tetapi jikalau mengikut kaedah ilmu ini tidak bertempat itu maksudnya meliputi setiap sesuatu, dan Maha besar itu, besarnya tidak ada had dan tidak ada hingga, meliputi sekelian alam (selain daripada ALLAH).

   Jika ALLAH itu tidak bertempat dan tidak tahu dimana, bermakna ALLAH mengambil lapang dan apabila mengambil lapang, Tuhan itu sama dengan yang baharu yakni kena atas mahluk dan apabila sembahyang, sembah baharu, sebab Tuhan tidak bertempat dan tidak tahu dimana. Ada juga dapat menyebut ALLAH itu meliputi tetapi apabila ditanya meliputi macam mana? tidak dapat hendak menghuraikannya.

 Jikalau tidak dapat memahami Tuhan dimana, yakni tidak bertempat dan meliputi itu macamana, sudah pasti duduk didalam syirik sentiasa. Apabila duduk didalam syirik, apa pula yang terjadi kepada rukun Islam yang lima, yang dikerjakan?

   Sesungguhnya ALLAH itu Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Agong dan Maha segala-galanya. KebesaranNya, KekuasanNya dan KeagonganNya itu MELIPUTI  segala-galanya. YAKNI ZAT ALLAH SWT MELIPUTI SETIAP SESUATU, TIDAK BERCERAI DAN TIDAK BERSEKUTU  (  Insya'allah akan diterangkan dibab-bab yang akan datang, dari hal tidak bercerai dan tidak bersekutu).

No comments:

Post a Comment